Kerjaya lakonan Liyana_Jasmay

Permulaan kerjaya (1997–2006)

Liyana memulakan kerjaya lakonan pada 1997. Ketika berusia 9 tahun,[9] beliau menjayakan peranan kecil dalam drama Si Lembik arahan Aznil Nawawi yang bersiaran di TV3, yang dikatakan mempunyai persamaan dengan The Little Rascals. Wajah Liyana disifatkan oleh media dengan daya penarik kegadisan, senyuman manis, mata yang penuh perasaan dan bibir bermuncung, berpadanan dengan keyakinan yang ditonjolkan apabila menyentuh mengenai lakonan.[9] Sewaktu mula berkecimpung dalam bidang lakonan, Liyana hanya berlakon dalam siri televisyen.[9] Pada tahun 2006, Liyana melangkah ke layar lebar dengan memegang watak utama Phim dalam filem Castello[10] arahan Bade Haji Azmi, lakonan Rosyam Nor dan Erra Fazira,[10] Peranan ini yang melayakkan beliau menerima pencalonan Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-19 pada tahun yang sama.[11]

Kejayaan awal, KAMI, Maut dan kemenangan anugerah (2007–2010)

Pada awal tahun 2007, Liyana muncul dalam filem Syaitan, tetapi cuma memegang watak sampingan. Pada tahun yang sama Liyana kembali ke layar kaca dengan memegang watak Lyn dalam drama KAMI[12] arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak,[12] lakonan bersama Juliana Evans, Nas T Muammar Zar, Ani Zayanah dan Syarul Ezani.[12] Beliau juga muncul dalam video muzik lagu "Salahku" oleh kumpulan Sofaz.[13] Beliau bergandingan bersama Faizal Yusup (kini Allahyarham) sebagai pelakon utama dalam telefilem Cinta Si Rempit (2007) yang bersiaran di Cerekarama TV3.

Selepas kejayaan filem sulung lakonannya, Castello, pada 2008, Liyana membawakan semula peranannya sebagai Lyn dalam filem KAMI The Movie terbitan Redfilms dan Grand Brilliance yang berdasarkan daripada siri mini dengan judul sama, filem ini ditayangkan di pawagam pada Oktober 2008, filem ketiga lakonannya, Histeria arahan James Lee menemui penonton di pawagam, beliau melakonkan watak sebagai Murni. Filem yang turut dibintangi oleh Scha Al-Yahya dan Yana Samsudin ini berkisarkan tentang enam orang pelajar nakal (Alissa, Tini, Marina, Murni, Junita, dan Kerek) yang menamakan kumpulan mereka sebagai ‘The Pink Ladies’, berpura-pura terkena histeria, hingga terpaksa dipanggil bomoh untuk memulihkan mereka. Juga pada 2008, Liyana menyertai barisan pelakon drama seram arahan Ahmad Idham, Puaka Niyang Rapik (2008-09) yang bersiaran di TV3.

Liyana (kanan) bersama Que Haidar dalam filem Papadom.

Pada 2009, beliau sekali lagi bekerja di bawah arahan Bade Hj. Azmi menerusi filem Maut (tajuk asal Malaikat Maut) terbitan Tayangan Unggul, dalam filem yang mengandungi 3 jalan cerita ini, Liyana memegang watak sebagi Su dalam cerita pertama yang turut dibintangi oleh Danny X-Factor, Raja Farah dan Nuremynadia. Liyana membintangi watak utama sebagai Laila dalam teledrama arahan Ghaz Abu Bakar, Laila Sari yang bersiaran pada 1 Ogos 2009 di Astro Ria, telefilem komedi romantis dan fantasi ini turut dibintangi oleh Erry Putra, Tam Suhaimi dan Chomel Fana, diangkat dari skrip tulisan Nizam Zakaria, mengisahkan 2 puteri bunian dari kerajaan Buni Tujuh yang memiliki jurang perbezaan dan kerap bercanggah pendapat. Berbanding dengan Laila yang agresif dan sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-citanya, Sari lebih rasional dan tidak rakus. Telefilem ini diilhamkan dari filem Disney, Enchanted. Selepas muncul dengan Laila Sari,[14] Liyana bergandingan bersama Kamal Adli menerusi drama Zati & Si Mawas[15] yang diilhamkan dari kisah dongeng Beauty & The Beast.[15] Siri ini mengisahkan seorang gadis biasa bernama Zati melalui kehidupan kolej yang juga seringkali dibuli oleh kakak-kakaknya, Rina dan Joey.[15]

Pada tahun yang sama, Liyana melakonkan peranan utama sebagai Miasara dalam filem Papadom arahan Afdlin Shauki, filem ini menandakan kerjasama sulungnya bersama Afdlin. Filem ini melayakkan beliau memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik untuk filem di Festival Filem Malaysia ke-22; untuk filem KAMI The Movie, Liyana memenangi Pelakon Wanita Terbaik Filem untuk di Anugerah Skrin 2009.[16] Selepas Maut dan Papadom, Liyana kemudiannya berlakon dalam filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly lakonan Fazura dan Maya Karin, tetapi hanya melakonkan watak pembantu sebagai Suri. Beliau sekali lagi bergandingan bersama aktor berbakat Que Haidar menerusi filem Duhai Si Pari-Pari, yang menandakan kali keempat mereka berdua berlakon bersama selepas berlakon bersama dalam filem Castello, Maut dan Papadom.

Satu-satunya filem lakonan Liyana pada 2010 ialah Niyang Rapik arahan Ahmad Idham yang diterbitkan susulan kejayaan Puaka Niyang Rapik yang mendapat sambutan hebat di kalangan penonton[17] tetapi jalan cerita filem ini berbeza daripada siri TV tersebut walaupun mempunyai latar tempat yang sama, turut membintangi filem ini ialah Fizz Fairuz dan Shaheizy Sam. Pada tahun yang sama, beliau melakonkan watak Siti Nur Ponti dalam telefilem Ponti Anak Remaja[18][19] terbitan The Media Hustler arahan Ghaz Abu Bakar lakonan bersama Tam Suhaimi, Farish Aziz dan Hairul Azreen.[18] Telefilem ini kemudiannya dikembangkan dalam bentuk siri televisyen yang disiarkan di Astro Ria.[18] Pada tahun yang sama, beliau memenangi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 dan Anugerah Shout! bagi kategori Best On the Screen Chemistry (bersama Afdlin Shauki) menerusi filem Papadom.

Khurafat dan Frozen: Anna & Permaisuri Salji (2011–2013)

Liyana (sebagai Aishah) bersama Syamsul Yusof (sebagai Johan) dalam salah satu adegan filem Khurafat.

Liyana memulakan portfolio 2011 dengan membintangi bersama pelakon dan pengarah pemenang anugerah Syamsul Yusof menerusi filem seram 2011, Khurafat: Perjanjian Syaitan terbitan bersama Skop Productions dan Grand Brilliance, beliau melakonkan watak sebagai Aishah, isteri kepada Johan yang dilakonkan oleh Syamsul, filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan mendapat sambutan daripada penonton, meraih kutipan pecah panggung RM8.08 juta serta menerima ulasan positif dari pengkritik filem.[20] Selepas Khurafat, Liyana muncul pula menerusi satu lagi filem seram lakonannya, Senjakala arahan Ahmad Idham, kali ini beliau berpasangan dengan Zahiril Adzim sebagai Armand, beliau memegang peranan sebagai Karlisa, filem yang berkisarkan tentang Karlisa yang baru saja kematian tunangnya di dalam satu kemalangan jalan raya. Sejak itu, Karlisa mendapat mimpi pelik yang memanggil-manggil gadis itu untuk pulang ke kampung ibunya iaitu Kg Senja Lama.[21] Filem yang ditayangkan pada 14 April 2011 merupakan satu kegagalan komersial, hanya sekadar meraih kutipan sebanyak RM1.10 juta.

Pada 16 November 2011, telefilem Si Tudung Tweet yang merupakan cetusan idea Liyana dan Tam Suhaimi, menemui penonton di TV9 menerusi slot Skrin Di 9. Liyana Jasmay sendiri turut berlakon dalam telefilem arahan Ghaz Abu Bakar, bersama Juliana Evans, Izzue Islam (juga merupakan salah seorang anggota kumpulan Forteen), Natasha Hudson, Nelydia Senrose dan ramai lagi. Liyana melakonkan watak sebagai Zubaidah, seorang pelajar kolej Zubaidah yang sanggup membuat apa sahaja supaya mendapat perhatian ramai. Beliau seterusnya membintangi dua lagi filem, juga bergenre seram — Tolong Awek Aku Pontianak arahan James Lee dan Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki.

Pada 2012, Liyana hanya berlakon dalam satu siri TV sahaja, iaitu 3 Janji[22] yang bersiaran di Slot Lestary TV3 bersama dua heronya, Shahz Jaszle dan Shah Iskandar, beliau melakonkan watak Dahlia. Liyana melangkah setapak lagi dalam kerjayanya dengan bergelar penerbit dengan menubuhkan syarikat miliknya, Mermaid Studios bersama kakaknya, Edriana Jasmay, telefilem Cik Paris Diva Kampung merupakan produksi sulung syarikatnya. Pada tahun berikutnya, Liyana kembali membawakan semula watak Miasara dalam kesinambungan filem Papadom, Papadom 2 arahan Afdlin Shauki, selain itu, beliau muncul dalam filem Tokan arahan Ghaz Abu Bakar. Liyana bergandingan bersama Bront Palarae menerusi telefilem NY Cinta[23] yang mana penggambaran dijalankan selepas Liyana berkahwin,[23] ia ditayangkan di Astro First pada 13 September 2013.[23] Liyana melakonkan watak utama sebagai Mia yang melanjutkan pelajaran di New York, secara tak sengaja telah bertemu dengan Seth (Bront Palarae), seorang rakyat Malaysia tetapi telah lama menetap di New York.[23] Menggunakan 99% latar belakang kota metropolis New York, NY Cinta juga turut memperkenalkan lagu tema berjudul “Jujur” yang dinyanyikan sendiri oleh Liyana dimana lagu ini ciptaan sepenuhnya oleh kumpulan Tilu.[24]

Pada November 2013, Liyana meminjamkan suaranya untuk watak Puteri Anna dalam versi alihsuara bahasa Melayu filem animasi Disney 2013, Frozen: Anna dan Permaisuri Salji yang mana beliau mengambil alih watak itu daripada Kristen Bell untuk versi bahasa Inggeris.[25] Turut menyumbangkan suara ialah Marsha Milan Londoh yang meminjamkan suara untuk watak Puteri Elsa, penyampai radio Era FM, Ray meminjamkan suaranya untuk watak Olaf.[26]

Peningkatan kerjaya dan perkembangan terkini (2014–kini)

Liyana berlakon dalam satu-satunya telefilem lakonannya pada 2014, Bila Kau Datang bersama pelawak Nabil Raja Lawak yang ditayangkan pada 24 Januari di Astro Ria. Pada 2015, beliau sekali lagi bekerja di bawah arahan Bade Haji Azmi menerusi filem Isyarat Cinta yang diterbitkan oleh pelakon berkaliber Datuk Rosyam Nor, menggandingkan beliau bersama Fizo Omar dan Adi Putra. Beliau melakonkan watak sebagai Dhia, yang mengalami cacat penglihatan. Filem ini ditayangkan pada 19 Mac 2015[27][28] dan menerima ulasan positif daripada pengulas filem, malah Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memuji filem ini.[29]

Liyana melangkah setapak lagi dalam kerjayanya dengan bergelar penerbit filem. Menerusi syarikat Mermaid Studios yang diasaskan bersama kakaknya, Adriana, Liyana tampil dengan filem pertama terbitannya berjudul Bella & Jamie. Selain Liyana selaku teraju utama, filem arahan bersama Ghaz Abu Bakar dan Fairul Nizam Ablah ini mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Juliana Evans, Izzue Islam, Dynas Mokhtar dan Khir Rahman.[30][31][32][33]

Pada 2016, Liyana kembali aktif dalam bidang lakonan selepas habis tempoh berpantang 44 hari. Memetik dari portal hiburan Sinar Harian, kerana kerja yang banyak membuatkan Liyana tidak mahu melengahkan masa yang terluang.[34] Pada April, telefilem Angin Cinta terbitannya disiarkan di Astro First Eksklusif, dibintangi oleh Zizan Raja Lawak dan Ummi Nazeera.[35][36]

Bekerja kembali bersama sutradara terkenal Bade Hj. Azmi, Liyana berlakon dalam filem aksi 2017 terbitan Loyal Studio Sdn. Bhd., Sindiket yang memberi fokus kepada jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia bersama pelakon utamanya, Sharnaaz Ahmad, Sharifah Amani dan Daphne Iking. Dalam filem ini, beliau melakonkan watak sebagai Noreen, filem ini ditayangkan pada 6 April 2017 di pawagam seluruh negara.[37][38]

Selepas sekian lama tidak muncul dalam mana-mana drama, Liyana membintangi drama online arahan Bade Hj. Azmi, Hey Mr. Spotlight yang bersiaran di Unifi TV; menggandingkan beliau bersama Amar Asyraf.[39] Bella & Jamie, filem lakonan beliau bersama Juliana Evans ditayangkan pada 24 Januari 2019 terbitan Mermaid Studios, ia mengisahkan prsahabatan antara dua gadis iaitu Bella dan Jamie menjadi lebih rapat selepas mereka mendapat tahu ibu Bella dan bapa Jamie merancang untuk berkahwin. Namun hubungan mereka goyah apabila Bella mendapat tahu yang Jamie menjalinkan hubungan cinta dengan bekas kekasihnya.[40]

Rujukan

WikiPedia: Liyana_Jasmay http://www.harnas.co/2017/02/07/peruntungan-baru-l... http://www.budiey.com/drama-mini-ponti-anak-remaja... http://www.budiey.com/filem-sindiket/ http://www.budiey.com/trailer-dan-sinopsis-drama-l... http://galaksi-media.com/hiburan-ny-cinta-supertel... http://www.imdb.com/name/nm2885232/ http://www.limauais.com/sinopsis-filem-senjakala-l... http://www.liyanajasmay.com/ http://nurizspace.com/2013/09/ny-cinta-lakonan-bro... http://www.ohbulan.com/14-foto-terbaru-liyana-jasm...